News


<   Back

2016-01-15

redONE - Karangkraf Lancar Program Perkasa Ibu Tunggal


image

JOHOR BAHRU - Red One Network Sdn Bhd dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf menerusi Yayasan Nur Karangkraf melancarkan Program Memperkasakan Ibu Tunggal bagi membantu golongan itu meningkatkan pendapatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Jualan Red One, Ben Teh berkata, sebanyak RM620,000 diperuntukkan dalam program itu bagi membantu 1,000 ibu tunggal di seluruh negara menjana pulangan bersama syarikat pembekal perkhidmatan prabayar berkenaan secara percuma.

 

“Setiap ejen yang ingin menyertai Red One perlu membayar yuran RM620 tetapi menerusi program ini kita tawarkan secara percuma bagi membantu ibu tunggal kurang berkemampuan yang ingin menambah pendapatan.

 

“Sebanyak 100 pusat jualan Red One di seluruh negara akan terlibat dalam program ini, dengan setiap pusat jualan akan membimbing 10 ibu tunggal,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Memperkasakan Ibu Tunggal di Pan Pacific Hotel di sini, semalam.

 

Turut hadir pada program itu, Ketua Pegawai Operasi Karangkraf, Syamil Fahim Mohd Fahim, Timbalan Pengerusi Yayasan Nur Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Red One, Farid Yunus dan Ketua Pegawai Operasi Red One, Tee Yew Yaw.

 

Ben Teh berkata, setiap ibu tunggal dijangka mampu menjana pulangan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan dan boleh mencecah sehingga RM8,000 menerusi pelan perniagaan dan insentif yang disediakan syarikat itu.

 

“Ramai kakitangan jualan kita yang berjaya dan mampu menjana pendapatan antara RM6,000 hingga RM8,000 sebulan bergantung kepada komitmen dan kesungguhan masing-masing.

 

“Kami ingin membuka peluang ini kepada ibu tunggal agar golongan ini juga mampu meraih pendapatan lumayan mengikut waktu yang fleksibel supaya mereka dapat menguruskan keluarga dan anak-anak dengan mudah,” katanya.

 

Katanya, ibu tunggal yang berminat menyertai program itu boleh melayari laman web Red One atau datang ke pusat jualan berhampiran kawasan masing-masing.

 

Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, menerusi kerjasama itu Yayasan Nur Karangkraf memainkan peranan menyediakan perkongsian data mengenai ibu tunggal selain bertindak sebagai media rasmi program berkenaan.

 

“Program ini merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial yang kita jalankan. Kita mempunyai sistem maklumat yang lengkap mengenai ibu tunggal di negara ini dan amat berbesar hati dapat bekerjasama menjayakan program ini,” katanya.

 

Syamil Fahim pula berkata, pihaknya turut merancang memperluaskan program berkenaan dengan menggalakkan ibu tunggal mempromosikan dan menjual produk digital terbitan Karangkraf sebagai pendapatan sampingan tambahan.

 

Article from: http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/red-one-karangkraf-lancar-program-perkasa-ibu-tunggal-1.470819>