News


<   Back

2016-11-30

redONE Sasar Berkembang Dipacu Pelbagai Inisiatif


Oleh AKMYR SYAHAR AZWAR
ekonomi@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 23 Nov.

redONE Network Sdn. Bhd. (redONE) menyasarkan bi­langan pelanggannya mencecah sejuta pada penghujung tahun ini didorong oleh pelbagai inisiatif termasuk pembaharuan pelan ganjaran guru dan pelancaran pelan prabayar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif red­ONE, Ameen Amaendran Abdullah berkata, setakat November ini, terdapat seramai 900,000 pengguna telah melanggan pelan pasca bayar redONE berbanding hanya kira-kira 3,000 pada tahun 2012.

 

Ujarnya, pelbagai usaha dilakukan untuk menambah bilangan pelanggan redONE hingga mencapai sasaran sebanyak 2.5 juta pada hujung tahun depan, serta sekitar empat juta menjelang hujung 2018.

 

Jelas beliau, dengan purata perolehan bulanan syarikat sebanyak RM27 juta, redONE juga dijangka menamatkan pendapatan kewa­ngan pada tahun ini pada sekitar RM320 juta, serta RM500 juta bagi hujung tahun depan.

 

“redONE akan menawarkan pelan ganjaran guru baharu atau Data8+ kepada orang awam de­ngan beberapa ciri-ciri penambahbaikan termasuk data internet sebanyak 1GB dan komitmen bulanan serendah RM8 secara percuma selama 12 bulan.

 

“Selain itu, kita juga akan memperkenalkan pelan prabayar dengan harga tambah nilai dari se­rendah RM10 dan boleh digunakan dalam tempoh sebu­lan, yang pertama seum­pamanya di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

 

redONE me­­ru­pakan operator mudah alih maya yang beroperasi menggunakan rangkaian infrastruktur Celcom Axiata, namun menawarkan harga jauh lebih rendah bagi pengguna tanpa mengabaikan ciri-ciri nilai tambah.

 

Pelan ganjaran guru yang mula ditawarkan pada Mei lalu adalah pelan percuma tanpa yuran pendaftaran dan deposit selama 12 bulan dengan 500MB data, berjaya merekodkan seramai 76,000 pelanggan dalam kalangan guru pada Oktober lalu.

 

Pelancaran pelan prabayar bulan ini pula akan memacu bilangan pelanggan redONE kerana secara keseluruhannya, sebanyak 80 peratus pelanggan telekomunikasi di Malaysia menggunakan produk prabayar dan hanya 20 peratus pascabayar.

 

Menurut Ameen, redONE berkembang dengan pesat dalam masa singkat dibantu oleh strategi pemasaran yang berkesan termasuk memperuntukkan sekitar enam hingga tujuh peratus pendapatan tahunan untuk pengiklanan.

 

Katanya, sebahagian besar pertumbuhan redONE dibantu oleh rangkaian yang kukuh bersama rakan-rakan syarikat terdiri daripada sistem berperingkat yang berbeza, selain sebanyak 10,000 penasihat jualan di seluruh negara.

 

“Kita tumpukan aspek pemasaran sebagai usaha untuk menubuhkan jenama. Dengan sebanyak 100 papan iklan di sepanjang lebuh raya, orang ramai berpeluang mengetahui tentang redONE serta produk telco yang ditawarkan,” ujarnya.

 

Menuju kehadapan katanya, beliau akan terus memfokuskan pengiklanan, pelan pra bayar serta menceburi bidang digital termasuk melancarkan buku elektronik pada Disember ini dan aplikasi redONE pada suku pertama tahun depan.

 

utusan