News


<   Back

2016-12-14

redONE Tawar Panggilan Tanpa Had


by Norawazni Yusof
14 Disember 2016
  

KUANTAN – Persaingan syarikat telekomunikasi di negeri ini semakin sengit, atas alasan itu Syarikat telekomunikasi RedOne Network Sdn Bhd menawarkan panggilan tanpa had kepada pengguna menerusi pelan prabayar keluaran terbaharu syarikatnya.

 

Penasihat Kanan Kawasan Timur RedOne, Datuk Sulaiman Ahmad berkata, pihaknya telah melancarkan pelan terbaharu itu pada 21 November lalu dan banyak kelebihan ditawarkan kepada pengguna sekiranya mereka mengaktifkan pelan terbabit.

 

Menurutnya, antara kelebihannya ialah pengguna boleh membuat panggilan secara percuma tanpa had antara rangkaian sama dan tempoh laku (expired kredit) bagi setiap tambah nilai (topup) yang dibuat adalah selama sebulan.

 

“Sebagai contoh bila kita tambah nilai sebanyak RM10 kita boleh membuat panggilan dalam masa satu bulan sedangkan operator atau pengendali lain mereka hanya tawarkan satu minggu atau dua minggu. Mereka masih menikmati panggilan percuma sesama rangkaian dengan syarat dalam tempoh laku itu dalam masa satu bulan, ini antara kelebihan yang kita ada.

 

“Saya lihat pelan yang ditawarkan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna ditambah pula 500 MB Internet percuma setiap kali tambah nilai dilakukan,” katanya ketika ditemui dalam Kejohanan Boling Piala Individu Lelaki dan Wanita di Kuantan Megalanes Megamall di sini, semalam.

 

Katanya, setakat ini, kira-kira 2,000 pengguna telah mengaktifkan pelan tersebut sejak dilancarkan dan pihaknya menyasarkan lebih 8,000 pengguna berdaftar di negeri ini dalam tempoh sebulan.

 

“Malah kita akan berusaha untuk mencapai sasaran itu, kemungkinan lebih daripada apa yang dijangkakan kita tak tahu, apa yang penting semua pihak kena usaha untuk memastikan pengguna tidak akan menyesal bila mereka menggunakan pelan ini,” katanya.

 

Ditanya mengenai kejohanan boling yang dianjurkan, Sulaiman berkata, ini adalah program sosial syarikatnya yang dianjurkan bersama rakan niaga.

 

Katanya, program sebegini adalah untuk merapatkan lagi hubungan kerja antara RedOne dengan rakan niaga di samping menggalakkan masyarakat setempat iaitu muda mudi khususnya untuk berkecimpung dalam bidang ini.

 

“Insya-ALLAH kita akan mengendalikan lagi kejohanan ini pada masa akan datang. Melihat kepada sambutan yang diterima oleh peserta hari ini (semalam) kita amat berbangga kerana dapat kumpulkan anak-anak muda.

 

“Saya harapkan kejohanan ini dapat membentuk satu rasa kekeluargaan dalam kalangan rakan niaga dan RedOne di samping kita memperkenalkan pakej kita yang terbaru yang dikenali pelan Prabayar kepada masyarakat setempat,” katanya.

 

Article From: http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/redone-tawar-panggilan-tanpa-had